PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA: ANTARA SUMBANGAN DAN CABARAN DALAM MENEMPUH ABAD KE-21.


KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)
PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA: ANTARA SUMBANGAN DAN CABARAN DALAM MENEMPUH ABAD KE-21.
Pendahuluan
Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".
Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :
  • Pembangunan tenaga manusia

  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi

  • Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial

  • Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat

  • Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual

  • Pembangunan teknologi dan sains

  • Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.
‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
SUMBANGAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA KEPADA SEKTOR PENDIDIKAN
Apabila Kementerian Pendidikan telah menetapkan satu matlamat untuk menjadikan pendidikan bertaraf dunia, dengan sendirinya matlamat tersebut telah mengariskan apakah langkah-langkah yang perlu diambil. Langkah-langkah tersebut adalah:
  1. Pengkorporatan Universiti.
  2. Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, semua pihak di negara ini yang terlibat dengan kegiatan pendidikan perlu meningkatkan komitmen mereka supaya sentiasa berusaha mengekalkan dan meningkatkan kualiti pendidikan untuk kemajuan dan perubahan. Pendidikan yang berkualiti amat penting bagi mencorakkan perubahan dan kemajuan pembangunan sumber tenaga manusia yang produktif di negara ini yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju.
    Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan mempunyai motif tertentu bukan sahaja bagi tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan dengan mengurangkan tanggungan kerajaan bagi membiayai perbelanjaan pengajian tinggi, bahkan juga bagi menjadikan sektor pendidikan di negara ini lebih dinamis perkembangannya. Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah diharapkan supaya pihak pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan universiti mengikut model-model penswastaan, pengkorporatan dan pensyarikatan yang menekankan kepada perkhidmatan keuntungan dan produktiviti.
    Kerenah birokrasi dan pelbagai ‘red tape’ yang mengekang perjalanan universiti akan dapat diatasi melalui pengkorporatan universiti. Dengan ini universiti akan bertenaga meningkatkan kewibawaan dan memulakan anjakan paradigma barunya membawa era pendidikan bertaraf antarabangsa. Autonomi universiti akan digunakan untuk kepentingan korporat.
    Pasaran pendidikan tinggi juga akan diperluaskan melalui pengeksportan pendidikan ke negara lain di samping menarik pelajar ke Malaysia dengan menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar utama bagi menjamin kualiti, akauntabiliti dan kredibiliti pendidikan tinggi tempatan.
  3. Reformasi pelbagai aspek organisasi pendidikan
Pendidikan bertaraf dunia adalah satu wawasan unggul bagi mereformasikan pelbagai aspek organisasi pendidikan di semua peringkat persekolahan.
Ini termasuklah membaiki :
  • Kualiti pengajaran

  • Kualiti perkhidmatan

  • Kualiti kurikulum

  • Kualiti penilaian dan pensijilan

  • Kualiti pensyarah

  • Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar

  • Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi

  • Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti

  • Kualiti kepimpinan universiti

  • Kualiti penyeliaan

  • Kualiti mentoring

  • Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar
  1. Perubahan Sistematik
Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai dengan tuntutan semasa. Dalam kontek Malaysia sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat pembaharuan supaya ia dapat memenuhi tuntutan wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembangunan sumber manusia dari segi kuantitif dan kualitif. Perubahan dan pembaharuan adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang bertaraf dunia, impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin dapat dicapai.
Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pendidikan membuat pembaharuan yang disifatkan sebagai sesuatu yang mesti menjangkau tempoh masa yang agak lama. Ia mestilah bersifat sistematik iaitu ia tidak boleh terdiri dari satu komponen pendidikan iaitu educational content, educational tools dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah sedemikian rupa supaya perubahan menjadi lebih bersepadu, holistik serta komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat secara menyeluruh dan dalam kontek yang lebih luas.
Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang ada pada Kementerian Pendidikan dalam membuat beberapa perubahan sistem pendidikan. Pembentangan Rang Undang-Undang Pendidikan 1995 membolehkan reformasi pendidikan dilaksanakan.
Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :
  • Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.

  • Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan

  • Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun

  • Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan

  • Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan

  • Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta
Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-komponen lain sistem pendidikan yang merangkumi ketiga-tiga komponen penting di atas iaitu isi kandungan pendidikan, alat-alat pendidikan dan infrastruktur. Contohnya, apabila kita mengubah kurikulum sekolah, faktor-faktor latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru, profesionalisme dan lain-lain lagi hendaklah diambil kira.
Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya Institut Perguruan Sultan Idris yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris. Sejajar dengan peningkatan taraf ini, adalah diharapkan kewibawaan guru-guru akan dipertingkatkan untuk melahirkan insan yang cemerlang.
Sehubungan dengan matlamat pendidikan bertaraf dunia, profesyen perguruan perlu pengkajian semula. Profesyen perguruan di Malaysia memerlukan reformasi profesionalisme yang radikal dan drastik bagi mengatasi masalah, cabaran dan jangkaan baru dalam merealisasikan agenda-agenda pembangunan pendidikan menjelang abad ke 21.
Imej dan status perguruan yang semakin tidak bermaya perlu dipulihkan segera. Penawaran kursus-kursus perguruan lepasan diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi adalah merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kualiti dan status profesyen perguruan.

  1. Penggredan Universiti
  2. Penggredan universiti sebagaimana yang diura-urakan oleh Kementerian Pendidikan adalah satu langkah positif dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi selaras dengan wawasan pendidikan bertaraf dunia. Secara tidak langsung perlaksanaan penggredan universiti ini menggalakkan universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kualiti dan status pengajaran pensyarah dan profesor di universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran.
    Melatih semula pensyarah dan profesor khususnya dalam bidang baru seperti teknologi maklumat, komputer, teknologi pendidikan adalah antara langkah-langkah penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan dianggap sebagai satu program perkembangan staf yang perlu dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi yang ingin berkembang secara progresif dan dinamis.
  3. Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta
  4. Penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang begitu banyak mempunyai implikasi yang besar kepada perkembangan industri pendidikan negara. Perlaksanaan program berkembar oleh insitusi-institusi swasta ini, membolehkan wujudnya peluang pembelajaran yang lebih tinggi dari segi penawaran kursus-kursus pengajian hasil dari kewujudan program berkembar, sekaligus menyediakan penempatan pembelajaran yang lebih banyak.
    Sehubungan dengan ini, pendidikan di Malaysia tidak hanya akan bergantung kepada universiti-universiti tempatan yang sedia ada sahaja. Natijahnya, impian negara untuk melahirkan bakal-bakal pekerja berilmu sebagaimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri dapat direalisasikan.
  5. Kelonggaran Sistem Pendidikan
Pendidikan untuk satu dekad yang akan datang digerakkan dengan lebih dinamik untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja berilmu sebagai langkah dan strategi pembangunan sumber manusia yang penting untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. Selaras dengan wawasan 2020, Malaysia sedang menyusun dan merangka satu paradigma perubahan ekonomi untuk menjadikan Malaysia negara maju dan membangun sepenuhnya dalam bidang perindustrian.
Perubahan paradigma bagi memasuki alaf baru gelombang perubahan ekonomi dan pembangunan sumber manusia abad ke 21 amat bergantung kepada peranan serta dasar liberalisasi sistem pendidikan negara ke arah melahirkan lebih banyak pekerja berilmu, rajin, tekun dan produktif.
Dalam satu ucapan dasarnya semasa mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di London, Perdana Menteri Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan Malaysia akan melonggarkan sistem pendidikan negara bagi membolehkan pelajar dengan keputusan cemerlang di peringkat persekolahan meneruskan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pekerja yang berilmu. Langkah melonggarkan peluang pendidikan ini dikira perlu kerana negara kekurangan pekerja yang berilmu bagi menghadapi cabaran masa depan terutama sekali dalam era teknologi maklumat abad ke 21.
Dengan mewajibkan semua murid mengikuti pendidikan awal di sekolah rendah secara percuma di samping melonggarkan peluang pendidikan menengah dan tinggi, Malaysia dikira akan mencapai satu taraf pendidikan yang maju di dunia. Malaysia juga dikira mempunyai kadar buta huruf yang rendah berbanding dengan negara-negara membangun yang lain.
Kelonggaran sistem pendidikan juga menjadi satu strategi untuk merapatkan jurang kemiskinan dalam masyarakat. Pendidikan, latihan dan pembangunan tenaga manusia mempercepatkan perubahan sosial, meningkatkan produktiviti, membentuk warganegara yang produktif, menjadi penggerak kepada pembangunan sains dan teknologi dan kegiatan ekonomi moden selaras dengan kemajuan yang ingin dipelopori melalui pendidikan bertaraf dunia.
Perubahan alaf baru pembangunan negara abad ke 21 juga memerlukan ribuan tenaga mahir dan tenaga profesional yang berilmu. Oleh sebab itu pelaburan pendidikan yang merupakan agenda pembangunan sosial juga menjadi satu agenda yang amat mendesak bagi meliberalisasikan peluang pendidikan dan latihan ke arah pembentukan pekerja berilmu.
Langkah bagi melahirkan pekerja berilmu mendorong sesebuah negara memperuntukan pelaburan yang tinggi dalam pendidikan dan latihan. Langkah ini juga selaras dengan Teori Modal Manusia (Human Capital Theory) yang menganggap pendidikan sebagai satu strategi penting bagi meningkatkan potensi modal manusia seperti kepakaran, kemahiran, berpengetahuan, efisyen, produktif, berdedikasi dan kreatif, sikap yang baik terhadap kerja dan sebagainya.
CABARAN KE ARAH MENUJU PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.
Dalam Malaysia kearah menuju pendidikan bertaraf dunia, kita tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran yang boleh memberi kesan kepada dunia pendidikan. Di antara cabaran-cabaran tersebut ialah :
  1. Penghijrahan pensyarah (brain drain)
  2. Penghijrahan pensyarah institusi pengajian tinggi awam bukanlah satu fenomena yang baru. Ia telah lama berlaku. Menurut Encik Wan Mokhtar Wan Yusuf ( Y.D.P. Persatuan Kakitangan Akademik UKM), penghijrahan ini merupakan satu fenomena biasa yang sering berlaku dalam mana-mana sektor. Penghijrahan ini sepatutnya dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar yang bertambah dalam sektor pendidikan swasta sejajar dengan perkembangan pendidikan negara ini.
    Persoalannya apakah penghijrahan pensyarah menjadi satu ancaman kepada pendidikan di negara ini ? Sudah tentu pasti kerana untuk menghasilkan seorang pensyarah bukannya satu perkara yang mudah. Institusi pengajian tinggi awam menghadapi saingan untuk memikat graduan ijazah pertama sewaktu mereka menamatkan pengajian. Memang tidak dapat dinafikan sektor swasta menawarkan skim gaji dan beberapa kemudahan yang menarik berbanding dengan apa yang disediakan oleh institusi pengajian tinggi awam.
    Dilihat dari sudut yang lain, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi memberi ruang kepada pensyarah institusi pengajian tinggi awam memilih haluan karier masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada agensi-agensi yang berada di bawah naungan Kementerian Pendidikan. Penghijrahan pensyarah bukan sahaja disebabkan oleh gaji pensyarah yang kecil tetapi juga harus dilihat dari pelbagai sudut sama ada ia berbentuk peribadi atau sebaliknya. Banyak lagi faktor lain yang dapat dikaitkan seperti tidak mendapat pengiktirafan pada masa yang diharapkan, rasa terkongkong dan sebagainya. Penghijrahan pensyarah sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada institusi pengajian tinggi swasta sahaja, malahan ia juga melibatkan sektor yang lain seperti sektor swasta, sektor kerajaan atau bekerja sendiri.
  3. Dominasi Jantina Dalam Profesyen Perguruan
  4. Keunggulan idealisme perguruan di negara ini menjadi semakin malap apabila profesyen perguruan ini dimonopoli oleh kaum wanita. Trend yang berlaku sekarang menunjukkan profesyen perguruan pada masa kini dan menjelang pada abad 21 akan terus dimonopoli oleh wanita. Salah satu implikasi negatif pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesyen ini ialah meluasnya pelbagai perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja, keruntuhan moral, masalah disiplin, jenayah berat yang semakin meluas berlaku disebabkan komitmen yang rendah dan ketidakmampuan guru wanita menangani masalah sosial yang semakin mencabar.
    Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosialisasi yang lemah sekaligus menunjukkan profesyen perguruan tidak berkemampuan dalam menangani masalah asas pendidikan yang dihadapi oleh masyarakat pada masa ini dan menjelang abad ke-21. Perasaan ketidakpuasan hati di kalangan guru dalam profesyen perguruan kebelakangan ini telah meningkat dengan begitu tinggi.
    Ini disebabkan meningkatnya beban kerja dan jangkaan yang pelbagai yang dilakukan oleh guru. Fenomena ini juga mendorong ramai bilangan guru ingin berhenti dan memohon untuk pilihan bersara daripada profesyen ini. Selain itu, kaum guru tidak dapat melarikan diri daripada menjadi sasaran kritikan kerana pendidikan adalah sentiasa terbuka kepada penilaian dan akauntabiliti pelbagai pihak.
    Banyak pekembangan terbaru yang berlaku yang memerlukan golongan pendidik di negara ini lebih bersifat profesional dalam melaksanakan tugas dan menangani masalah rumit yang berkembang dalam masyarakat sekarang. Kemalangan yang berlaku dari masa ke semasa mendedahkan golongan pendidik di negara ini dengan pelbagai tekanan psikologi dan mental yang memerlukan semangat kental dan kesabaran kaum guru.
  5. Peperiksaan Mengikut Keupayaan.
Konsep baru peperiksaan yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan, dikira akan memberi kesan yang luas kepada sistem penilaian dan sistem pelajaran di sekolah.
Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ini, sudah tentu mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan pelajar. Murid-murid sememangnya berbeza dari segi kebolehan dan kecerdasan mereka. Ini menyebabkan sebilangan murid didapati lebih mudah dan cepat menguasai sesuatu pelajaran dan kemahiran berbanding dengan segolongan lagi murid yang lemah dan lembab.
Banyak faktor yang menyebabkan mengapa perbezaan ini wujud dan memberi kesan pada pencapaian individu murid. Dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan faktor sosioekonomi khususnya latar belakang keluarga seperti pekerjaan, pendapatan dan pendidikan ibu-bapa mempunyai kesan yang amat besar kepada pencapaian murid-murid. Konsep peperiksaan yang memberi peluang pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan menggalakkan pelajar yang pintar dan cerdik atau murid-murid yang telah pun bersedia boleh mengambil peperiksaan lebih awal bagi tahap-tahap tertentu.
Isu kritikal di sebalik perlaksanaan sistem peperiksaan ini ialah ia boleh menggoncangkan sistem persekolahan kerana ia boleh menjadi alat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh golongan elit dan golongan berada mendapat pengiktirafan memihak kepada kepentingan mereka berbanding anak-anak golongan kurang berada dan golongan miskin.
Liberalisme konsep peperiksaan mengikut keupayaan bagaimanapun dikira akan memberi peluang kepada pelajar lemah menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki mengikut sistem peperiksaan berjadual sehingga mereka benar-benar yakin dan bersedia. Soalnya, sehingga bilakah pelajar yang lemah boleh membina keyakinan mereka untuk menduduki peperiksaan dan adakah mereka yakin mereka akan berjaya dalam peperiksaan.
Peratusan dan bilangan besar pelajar lemah di sekolah didapati tidak mempunyai keyakinan dan harapan yang mereka akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Sistem peperiksaan yang diujudkan juga lebih cenderung untuk mengukur kebolehan dan kecerdasan yang mirip kepada pelajar berkebolehan tinggi di samping ia mengiktiraf kegagalan pelajar lemah dan kurang kebolehan dari segi akademik.
Sistem peperiksaan yang dikira liberal ini juga tidak menjadikan sesuatu perubahan kepada yang berkebolehan rendah. Meliberalisasikan konsep peperiksaan tanpa mengubah rancangan dan program pendidikan untuk memperbaiki kelemahan akademik golongan berkebolehan rendah sudah tentu tidak memberi apa-apa makna ke arah merintis masa depan yang cerah kepada golongan yang berkebolehan rendah.
Selain itu, boleh ditimbulkan satu persoalan disini, apakah falsafah dan rangka ideologi yang mendasari konsep peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini ? Adakah ia boleh dikira satu perubahan yang penting ke arah menyumbang reformasi sistem peperiksaan yang sedia ada ? Setakat manakah falsafah dan konsep peperiksaan mengikut keupayaan ini memberi faedah dan mendukung wawasan pendidikan untuk melahirkan warga negara yang seimbang serta berketrampilan ?
Cadangan dikemukakan bagi menjadikan sistem peperiksaan dan persekolahan dan pengajian tinggi di negara kita lebih fleksible dengan cara membenarkan pelajar merujuk buku dan bahan-bahan yang dikirakan penting semasa di bilik peperiksaan. Bagaimanapun ia dianggap tidak praktikal dari segi keboleh percayaan dan validitinya sesuatu peperiksaan. Idea ini juga dikira mempunyai kecenderungan mengalakkan pelajar meniru dalam peperiksaan yang sukar dikesan.
Salah satu amalan negatif peperiksaan mengikut keupayaan ialah menkelaskan pelajar mengikut kelas dan kriteria baik, sederhana baik, lemah dan sebagainya. Amalan ini juga dikenali sebagai "streaming" atau pengaliran. Pengaliran biasanya dibuat oleh pihak sekolah mengikut pencapaian keseluruhan pelajar, dan kedudukannya yang bersiri di kalangan pelajar di tahap yang sama.
Konsep peperiksaan seperti ini mengalakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat tuisyen yang memberi keuntungan yang lumayan di samping mengekspoitasi murid dan ibu bapa demi mendapatkan kelulusan yang baik di dalam peperiksaan yang diadakan. Pertumbuhan pusat-pusat tuisyen adalah satu fenomena yang tidak sihat dan ia mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan sistem persekolahan di negara ini yang kurang cekap menjamin kejayaan yang baik di dalam peperiksaan. Selain itu peperiksaan akan mempengaruhi ibu bapa sehingga boleh memberi tekanan mental dan psikologi kepada anak-anak mereka semata-mata didorong oleh desakan untuk mencapai kejayaan yanga cemerlang.
Kejayaan di dalam peperiksaan dikira merupakan satu tiket untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik di samping untuk mendapatkan tempat memasuki institusi pengajian tinggi yang begitu berpegang teguh kepada merit dan prinsip kecemerlangan pencapaian akademik seseorang pelajar.
Dilihat dari perspektif sosiologi, radikal, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan mendorongkan kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang mencerminkan realiti keadaan persaingan dan pergelutan masyarakat di luar sekolah. Keseluruhan falsafah, prinsip, dan proses pendidikan akan terjejas sekiranya sistem peperiksaan yang mendasari wawasan pendidikan itu menyimpang dari matlamat-matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan insan yangg seimbang dan sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan proses persekolahan yang progresif dan dinamis.
CADANGAN MENANGANI CABARAN KEARAH MERIALISASI PENCAPAIAN MATLAMAT PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.
Meningkatkan profesionalisme perguruan
Adalah amat mustahak diingat golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa menghidupkan motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi cabaran-cabaran baru, disamping meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati dan disanjungi oleh murid, ibubapa dan masyarakat.
Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan menangani masalah asas pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun khususnya di Malaysia memerlukan resolusi yang lebih redikal dilakukan. Profesyen perguruan boleh dikatakan tidak banyak mengalami perubahan dari segi inovasi dari segi teknologi walaupun perkembangan teknologi maklumat berlaku dengan pesatnya dan dalam sektor-sektor lain.
Selaras dengan perubahan era multimedia dan teknologi maklumat profesyen di negara ini perlu di reformasikan supaya ia benar-benar mampu menjadi agen perubahan kepada budaya literasi teknologi, khususnya bagi melahirkan masyarakat yang celik komputer dan bersikap terbuka bagi mengembangkan budaya saintifik.
Pendidikan guru perlu di reformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa dengan ilmu pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang progresif, dapat mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif untuk mencapai kemajuan dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat membangun seperti Malaysia menjelang abad ke 21 tidak seharusnya di bataskan di atas andaian dan pandangan yang sempit. Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan peranan golongan guru sudah tentu akan merugikan masyarakat dan negara.
Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan yang menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan. Profesyen perguruan perlu diberi ruang yang lebih terbuka supaya konsep memasyarakatkan sekolah, murid, pendidikan dan guru boleh memberi faedah yang besar kepada pembangunan masyarakat setempat.
Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung kepada profesyen perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif. Profesyen perguruan yang dinamis perlu melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti, sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika profesionalisme pendidikan, berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan pendidikan yang berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk berubah.
Usaha-usaha lain sepearti melatih pensyarah bagaimana mengajar di institusi pengajian tinggi. Langkah ini turut mencadngkan supaya pensyarah-pensyarah universiti mestilah memiliki diploma pendidikan bagi membolehkan mereka melayakkan diri untuk mengajar. Walaupun mendapat reaksi yang "panas dan sinis" daripada pensyarah dan professor, cadangan ini bagaimanapun perlu dianggaap sebagai satu cadangan yang positif bagi meningkatkan kualiti pengajaran pensyarah dan profesor di universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran.
Mengatasi masalah "Brain Drain" di kalangan pensyarah
Kebanyakkan pensyarah yang memilih kerjaya ini adalah kerana komited dengan apa yang dilakukan. Penyelidikan menjadikan visi hidup mereka. Kerjaya sebagai pensyarah mempunyai banyak insrintik yang terus menambat hati pensyarah agar terus kekal di institusi pengajian tinggi.
Namun apa yang menyebabkan wujudnya masalah 'brain drain' antaranya ialah layanan yang mereka terima berbanding dengan pensyarah yang berrkhidmat di luar negara. Wan Mokhtar mempersoalkan apakah adil hanya menggangapkan pensyrah yang berkhidmat di luar negara ditawarkan dengan gaji yang berlipat ganda apabila kembali ke Malaysia, sedangkan antara keduanya mempunyai kemahiran dan pendedahan yang sama.
Dalam menangani isu ini, ia melibatkan banyak pihak. Namun begitu ia bukanlah sesuatu perkara yang sukar. Kerajaan sebagai tunggak, hendaklah peka dengan keperluan dan tuntutan semasa institusi pengajian tinggi awam agar penghijrahan keluar pensyarah dapat di atasi. Jangan biarkan pensyarah meminta-minta hak mereka kerana martabat pensyarah amat tinggi kedudukannya.

Memperbaiki Kualiti Sistem Peperiksaan
Adalah penting langkah dan strategi pembaharuan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti sistem peperiksaan. Sistem peperiksaan yang dibentuk bukan sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan dan kualiti serta potensi individu sejajar dengan falsafah pendidikan negara.
Peperiksaan yang menekankan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak memberi gambaran menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Selain itu, langkah-langkah perrlu dibuat bagi memperbaiki kualiti dengan menekankan aspek-aspek kognitif dengan menguji kebolehan pelajar dari segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik, pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta, penyelaisaian masalah, aplikasi, membuat penilaian dan sebagainya.
Konsep peperiksaan berterusan dalam konteks sekolah perlu di ambil kira sebagai kriteria keseluruhan mengukur perkembangan masyarakat yang sihat, berdaya maju dan cemerlang di samping memberi peluang kepada kepada setiap orang untuk mencapai rasa kejayaan dan penghargaan diri.
Perubahan asas dalam sistem pendidikan perlu dibuat. Perubahan ini bukan bersifat kosmetik tepi perubahan substantif supaya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya cadangan supaya tiga peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan.
Antara perubahan tersebut ialah membolehkan kegiatan ko-kurikulum diambil kira untuk memasuki universiti. Ketika ini sepuluh peratus daripada nilai markah kemasukan universiti datangnya daripada aktiviti ko-kurikulum. Apabila kita berubah kepada sekolah bestari nanti, penekanan akan diberikan kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan pelajar mengikut kemampuan sendiri iaitu konsep kendiri.

KETERSEDIAAN PENDIDIK MENGHADAPI REFORMASI PENDIDIKAN
Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia kejalan yang betul dalam pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan hambanya. Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan anjakan yang dapat mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif.
Sebelum perlaksanaan reformasi dibuat secara total ke atas sistem pendidikan negara, apakah semua yang akan terlibat dalam mendokong dan melaksanakannya telah tersedia? Kementerian Pendidikan perlu terlebih dahulu memastikan semua dalam keadaan bersedia bagi mendokong semua dasar atau sistem baru yang lebih futuristik.
Janganlah semua kesilapan seperti pengenalan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR), subjek alam dan manusia (ADM), dasar disiplin dan sistem kenaikan pangkat baru berdasarkan kepada kelayakan akademik berulang lagi - kasihan generasi remaja kita yang menjadi mangsa kerana impak dari kesilapan penghitungan dalam menanam modal dalam"komoditi pendidikan", ia akan memberi impak jangka panjang. Sebagai contoh, hasil daripada kegagalan KBSR dan subjek ADM yang dilaksanakan 10 tahun dahulu, bahangnya kita dapat rasai kini dengan kurangnya pelajar kita (melayu khususnya) yang berminat unutk memilih sains sebagai bidang pilihan mereka di IPT.
Pendidikan telah mempunyai agendanya untuk menubuhkan Sekolah Bestari, Pendidikan Bertaraf Dunia, Guru Bertaraf Dunia dan berbagai lagi yang akan bertaraf dunia. Persoalannya, apakah semua kominiti guru telah bersedia untuk mengikut arus reformasi yang akan mendatang dalam era pasca Teknologi Maklumat masa kini ? Ada baiknya fenomena ini dibetulkan terlebih dahulu sebelum memikirkan reformasi pendidikan secara total. Janganlah anjakan paradigma itu dibuat berkelompok-kelompok, biar ia menyeluruh kepada semua golongan pendidik. Kerana mereka inilah yang akan membina asas-asas yang mantap dan teguh.

Kesimpulan
Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara. Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan seluruh tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.

1 comment:

  1. Baik dan kemas. Mohon izin jadukan rujukan tugasan saya. Terima kasih.

    ReplyDelete