CABARAN GLOBALISASI DALAM PENDIDIKAN


Menerusi pandangan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamed sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia mengenai dunia globalisasi terdapat sebanyak lima cabaran asas terhadap dunia globalisasi seperti yang dilihat menerusi rajah di bawah.


                                                    gambar rajah 2


Dalam membincangkan keperluan perubahan dari aspek bidang pendidikan dalam era globalisasi, pihak UNESCO telah mencadangkan untuk merombak cara-cara membangunkan potensi sumber manusia melalui tata cara pendidikan secara formal dan tidak formal. Menurut Hussein Ahmad ( 2001) menyatakan supaya diperbanyakkan institusi latihan dan pendidikan bagi orang-orang dewasa yang sudah mempunyai kerjaya untuk membangun dan mengembangkan potensi sumber manusia bagi membolehkannya memberi sumbangan lebih bermakna kepada pembangunan negara dan juga perkembangan diri individu itu sendiri. Ini bermakna mereka akan mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang perlu dikuasai bagi menghasilkan produk berkualiti sesuai dengan peraliran semasa yang mana menuntut kecekapan dan kesiap siagaan yang tinggi dalam berhadapan dengan pelbagai kemungkinan era globalisasi kini.

Selain itu, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran tersebut sebagai kesan daripada arus globalisasi. Hallinger (1998), menegaskan globalisasi telah mendorong berlakunya anjakan paradigma yang amat ketara di kebanyakan negara dalam konteks untuk mencari makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang ditawarkan. Ini bermaksud, terdapat perubahan kurikulum terutama dari segi strategi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran telah diperkenalkan seperti:

1. Sekolah Bestari: Tumpuan kepada proses pengembangan dan pemupukan pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia.

2.  Projek Sekolah Net: Penggunaan komputer peribadi dan persekitaran Local Area Network (LAN). Guru berfungsi sebagai penerima maklumat sesuatu bahan kurikulum dan pembelajaran daripada luar dan kemudian menyalurkannya kepada pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar mendapat kemahiran dan maklumat sesuai dengan keupayaan mereka dan aplikasi pelbagai stail pembelajaran.

3. Projek Smart Lab: Menggunakan jaringan komputer bagi membolehkan pelajar mengakses ilmu dan maklumat daripada pelbagai sumber dengan guru berfungsi sebagai pemandu, pelayar dan pemudahcara.

4. Projek Sekolah Vista: Perisian aplikasi bagi pengurusan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan berkesan dan memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi secara elektronik dengan rakan dan guru.

Tambahan pula, perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat, kurikulum di Malaysia juga telah disemak semula dan diberi nilai tambah supaya kurikulum tersebut adalah relevan dan berupaya untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran tertentu bagi menghadapi persekitaran global setelah mereka melepasi alam persekolahan.

Cabaran ketiga ialah dalam pengurusan pendidikan. Dalam hal ini, pengurusan pendidikan telah mengalami transformasi dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi telekomunikasi dan pengkomputeran. Beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Maklumat Sekolah (School Management Information System) bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan. Dengan aplikasi tersebut ianya sedikit sebanyak membantu dalam pengurusan pendidikan seperti:

- Membantu dan mempermudahkan pengurus sekolah membuat keputusan.

- Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.

- Mengurangkan beban pengurus dalam melaksanakan tugas yang pelbagai.
- Meningkatkan kecekapan sistem pengurusan fail.
- Memudah dan menjimatkan masa dari segi mengumpul, memproses dan 
menyimpan  data seperti laporan kehadiran pelajar.

-Meningkatkan kecekapan dalam penyediaan gred/markah peperiksaan 
pelajar.



- Penempatan pelajar dalam kelas.
-Membuat agihan jadual waktu mengajar guru.
-Pembinaan jadual waktu guru.
- Membuat agihan sumber kewangan, buku teks, dan sebagainya.
-Menyimpan data mengenai stok dan inventori sekolah serta pelbagai 
urusan 
rutin yang dikendalikan pentadbir dan guru.




                                                                
(Rahmad Sukor, 2006)


      




Hussein Ahmad (2001) memberi penegasan bahawa proses globalisasi yang melanda dunia telah membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia di seluruh dunia. Sama ada sesebuah negara itu kecil atau besar, pedalaman benua mahu pun di kepulauan kecil, di pergunungan tinggi mahu pun di lereng, kaki dan lembah bukit, kesemuanya telah menerima tempias dan pengaruh fenomena globalisasi. Kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat. Oleh itu, aspek berkaitan keperibadian guru, budaya sekolah dan aktiviti-aktiviti kokurikulum kerana perkara tersebut memberi impak tersendiri dalam pembentukan moral pelajar seperti di bawah:

1. Keperibadian guru: Guru perlu menampilkan perawakan yang positif terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Perwatakan guru yang jujur, amanah, bersopan santun, penyayang, penyabar, sedia memberi pertolongan, sedia berkorban dan berdedikasi perlu diterampilkan supaya dapat menjadi contohan pelajar. Guru juga perlu membawa watak orang yang taat kepada amalan agama.

2. Budaya sekolah: Budaya sekolah yang mempraktikkan sikap amanah, ketekunan, cintakan kecemerlangan, berkasih sayang, bertolong bantu, kesantunan akhlak dan mengamalkan kehidupan beragama adalah elemen-elemen yang perlu dihidupkan dan dihayati secara berterusan. Aspek tersebut merupakan nilai yang seharusnya diberikan perhatian secara bersungguhsungguh oleh pihak pentadbiran sekolah

3. Aktiviti kokurikulum: Aktiviti seperti pakaian beruniform, persatuan, kelab dan kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan sahsiah pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap positif terhadap semangat bekerjasama, berdikari, tolong menolong, semangat cinta akan negara dan berdisiplin.

Cabaran kelima yang wujud dalam globalisasi dalam pendidikan ialah perkembangan profesionalisme guru. Satu perbahasan relevan tentang globalisasi ialah pengkajian mengenai kesan globalisasi terhadap perkembangan profesionalisme keguruan. Usaha yang dilihat menerusi cabaran globalisasi dalam perkembangan profesionalisme keguruan ialah dapat meningkatkan kualiti guru sama ada dari segi kelayakan akademik, kepakaran dalam pengajaran, kualiti professional dan kualiti personal atau kepimpinan guru dalam organisasi sekolah dan masyarakat, meluaskan pengetahuan guru bersifat global, kemahiran ICT dan interaksi global membolehkan guru meluaskan konsep pembelajaran mengatasi halangan bilik darjah dan birokrasi sekolah, meluaskan peluang kepada guru perkhidmatan dan guru-guru dalam latihan dari segi pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme dan sebagainya.

Kesimpulannya, masyarakat masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan pendidikan
dengan penuh minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka. Pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.



                                             



No comments:

Post a Comment

Post a Comment