MINGGU EDUCATION FOR ALL – EFA (PENDIDIKAN UNTUK SEMUA) 2012


Wednesday, May 30, 2012


MINGGU EDUCATION FOR ALL – EFA (PENDIDIKAN UNTUK SEMUA) 2012


Kementerian Pelajaran Malaysia akan menubuhkan Pusat Bimbingan Jalinan Qaseh bagi memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak geladangan atau terbiar yang tidak dapat mengikuti pendidikan kerana faktor kemiskinan, persekitaran dan kehidupan sosial yang tidak sihat serta tidak memberangsangkan.  
Menurut Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Faridah Abu Hassan, penubuhan pusat bimbingan ini diharap dapat memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak tersebut agar mereka dapat berdikari dan tidak akan menjadi liabiliti kepada masyarakat setempat serta Negara di masa hadapan.
Dr. Faridah yang berucap mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata demikian di majlis pelancaran Sambutan Minggu EFA 2012 di Lorong Haji Taib 3, Chow Kitt, Kuala Lumpur anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Yayasan Salam Malaysia pada 6 Mei 2012.
Tambahnya, menyedari kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara untuk pendidikan atau NKRA dengan matlamat untuk meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak ke prasekolah.  Sehingga tahun 2011 sebanyak 72.2% kanak-kanak telah menyertai prasekolah dan kerajaan mensasarkan 87% kanak-kanak akan menyertai prasekolah menjelang 2012. 
Minggu EFA diadakan selaras dengan sambutan Global Campaign for Education oleh UNESCO dan juga merupakan satu agenda UNESCO dalam ‘Reaching the Unreached’.  Pendidikan untuk Semua (EFA) merupakan inisiatif daripada pihak UNESCO yang mensasarkan 6 matlamat yang perlu dicapai menjelang tahun 2015.  Matlamat-matlamat tersebut merentas semua peringkat pendidikan bermula daripada awal kanak-kanak sehinggalah pendidikan sepanjang hayat pada peringkat dewasa.  Keenam-enam matlamat tersebut juga terangkum di dalam inisiatif utama Rancangan Malaysia ke-10.
Tema Minggu EFA pada tahun ini Rights From The Start! “Early Childhood Care And Education Now” amat bertepatan dengan hasrat KPM untuk bersama-sama merealisasikan transformasi pendidikan dan pendidikan prasekolah telah maju setapak lagi untuk meningkatkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan ke alam persekolahan.  Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah lebih komited dalam pendidikan.
Harapan KPM ialah agar semua pihak dapat menggembeling tenaga bersama-sama KPM bagi memastikan anak-anak berpeluang mengikuti pendidikan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan seterusnya kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara. 







Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pelajaran Malaysia

Pembelajaran sepanjang hayat ditekan


PULAU PINANG 19 Jan. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan memberikan penekanan terhadap konsep pembelajaran sepanjang hayat kerana ia berupaya meningkatkan produktiviti dan peluang pekerjaan.
Menurut Perdana Menteri, melalui pendekatan berkenaan, kerajaan percaya ia dapat memperkayakan jiwa dan minda dengan ilmu pengetahuan yang berkualiti.

“Dalam membangunkan modal insan, salah satu pendekatan utama yang ingin kita tekankan adalah konsep pembelajaran sepanjang hayat malah Kementerian Pengajian Tinggi telah memulakan pelbagai program untuk mewujudkan satu prasarana dan persekitaran pengajian yang lebih baik mutunya.
“Ini secara langsung akan bawa kepada kejayaan dan bila kata kita perlu meningkatkan mutu, maksud saya ialah kita perlu menambah nilai bagi menghadapi dunia yang penuh cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini, hari ini. Hadir sama ialah penasihat parti Gerakan yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Menteri merangkap pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Canselor Universiti Terbuka Wawasan, Tun Dr. Lim Chong Eu.
WOU tajaan Parti Gerakan menawarkan 11 program ijazah sarjana muda, enam di bawah Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran (FPP) manakala selebihnya di bawah Fakulti Sains dan Teknologi (FST)

Sekarang ini, WOU mempunyai lima cawangan di seluruh negara merangkumi Pulau Pinang (kampus utama), Ipoh, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Bharu. Pada tahun ini, tiga cawangan baru akan dibuka di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu supaya peluang pendidikan dibuka seluas-luasnya kerana ia penting untuk membekalkan ilmu terkini kepada masyarakat.
“Dengan adanya ilmu terkini, maka rakyat akan menjadi tenaga kerja yang berkemampuan untuk menyumbangkan kepada pembangunan negara.

“Bagi mereka yang bekerja pula, kita galakkan mereka supaya menambah ilmu kerana persekitaran kerja boleh berubah secara dramatik disebabkan oleh penciptaan teknologi terkini,” katanya.

Pada majlis berkenaan juga, Perdana Menteri turut mengumumkan dana sebanyak RM20 juta untuk tabung WOU.

Sementara itu Abdullah sempat meluangkan masa kira-kira dua jam untuk makan tengah hari bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri di sebuah hotel di sini.