Malaysia Capai Tahap Baik

Malaysia Capai Tahap Baik Dalam Kajian Pendidikan Unesco


Oleh D. Arul Rajoo

BANGKOK, 29 Mei (Bernama) -- Sistem pendidikan Malaysia mencapai tahap baik dari segi kemudahan yang diberikan kepada pelajar dan skim gaji tenaga pengajar, menurut kajian terbaru Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Kajian tersebut dilaksanakan oleh Institut Statistik (UIS) badan dunia itu terhadap 11 negara pilihan dari benua Amerika, Asia dan Afrika.

Malaysia mencapai peratusan tinggi dari segi kemudahan bekalan elektrik, papan hitam, tempat duduk yang mencukupi, perpustakaan dan komputer untuk urusan pentadbiran dan golongan pelajar.

Laporan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan perbelanjaan pendidikan paling tinggi bagi setiap murid sekolah rendah adalah di negara Chile iaitu US$2,120 (RM6,894) diikuti Argentina US$1,605 (RM5,220), Malaysia US$1,552 (RM5,047), Brazil US$1,159 (RM3,769) dan Uruguay sebanyak US$1,063 (RM3,457).

Di sebalik perbezaan, perbelanjaan bagi setiap murid sekolah rendah adalah kurang daripada US$700 (RM2,276) di India, Paraguay, Peru dan Filipina.

UNESCO juga mengambil perhatian bahawa gaji tenaga pengajar mengambil sebahagian besar peruntukan pendidikan dari 67 peratus di Uruguay kepada 94 peratus di Filipina.

Kecuali India, Malaysia dan Sri Lanka, kebanyakan guru tidak puas hati dengan gaji mereka.

"Lazimnya, gaji mengambil kira-kira 85 peratus perbelanjaan semasa dengan membiarkan hanya 15 peratus bagi perbelanjaan seperti buku teks dan peralatan pembelajaran lain, menurut kajian yang menonjolkan kesan ketidakseimbangan sosial dalam sistem pendidikan sekolah rendah di kebanyakan negara dan cabaran menyediakan peluang pendidikan sama rata kepada kanak-kanak.

Seramai 7,600 sekolah memberi maklumbalas kepada soalan-soalan terperinci yang dikemukakan dalam kajian itu mengenai fungsi sekolah, bagaimana guru mengajar, keadaaan pembelajaran dan sokongan yang diberikan kepada guru dan pengetua sekolah.

Menurut laporan itu, ketika buku masih luas digunakan dalam bilik darjah, namum teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan besar di sekolah dengan negara Argentina, Brazil, Chile, Malaysia dan Uruguay menunjukkan kemajuan dalam sistem pengurusan berdasarkan komputer.

Chile dan Malaysia mempunyai pusat sumber sekolah terbaik secara menyeluruh termasuk mesin faks, projektor "overhead", pemain VCR, bilik audio-visual dan makmal sains.

Guru Gred Empat mengajar 23 jam seminggu dalam sesi sekolah tunggal dengan beban pengajaran berbeza iaitu hanya 14 jam seminggu di Malaysia kepada 31 jam seminggu di Chile dan Filipina.

Kebanyakan negara dalam kajian itu mempunyai nisbah murid-guru pada kadar 20:1 kepada 30:1.

India mempunyai nisbah tertinggi khususnya di sekolah-sekolah kampung iaitu 59 murid bagi seorang guru manakala Malaysia mempunyai nsibah paling rendah dengan purata menyeluruh sebanyak 18 murid bagi setiap guru. Di Malaysia, India, Peru, Filipina dan Sri Lanka, wujud kekurangan guru berkelayakan.

"Kajian ini menawarkan kekayaan data. Pada hal lain pula, kami melihat sejauh mana sekolah kekurangan elemen-elemen asas -- air bersih dan bekalan elektrik.

"Tetapi data juga menunjukkan ketidakseimbangan sosial menjejaskan peluang kanak-kanak untuk menimba ilmu. Sudah jelas, tidak ada negara -- kaya atau miskin -- lali kepada ketaksamaan kedudukan sosial ini," kata pengarah UIS Hendrik van der Pol.

-- 
bernama
29 Mei, 2008 

No comments:

Post a Comment