Oleh
D. Arul Rajoo
BANGKOK, 29 Mei (Bernama) -- Sistem pendidikan Malaysia mencapai tahap baik
dari segi kemudahan yang diberikan kepada pelajar dan skim gaji tenaga
pengajar, menurut kajian terbaru Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan
Kebudayaan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Kajian tersebut dilaksanakan oleh Institut Statistik (UIS) badan dunia itu
terhadap 11 negara pilihan dari benua Amerika, Asia dan Afrika.
Malaysia mencapai peratusan tinggi dari segi kemudahan bekalan elektrik,
papan hitam, tempat duduk yang mencukupi, perpustakaan dan komputer untuk
urusan pentadbiran dan golongan pelajar.
Laporan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan perbelanjaan pendidikan
paling tinggi bagi setiap murid sekolah rendah adalah di negara Chile iaitu
US$2,120 (RM6,894) diikuti Argentina US$1,605 (RM5,220), Malaysia US$1,552
(RM5,047), Brazil US$1,159 (RM3,769) dan Uruguay sebanyak US$1,063
(RM3,457).
Di sebalik perbezaan, perbelanjaan bagi setiap murid sekolah rendah adalah
kurang daripada US$700 (RM2,276) di India, Paraguay, Peru dan Filipina.
UNESCO juga mengambil perhatian bahawa gaji tenaga pengajar mengambil
sebahagian besar peruntukan pendidikan dari 67 peratus di Uruguay kepada 94
peratus di Filipina.
Kecuali India, Malaysia dan Sri Lanka, kebanyakan guru tidak puas hati dengan
gaji mereka.
"Lazimnya, gaji mengambil kira-kira 85 peratus perbelanjaan semasa
dengan membiarkan hanya 15 peratus bagi perbelanjaan seperti buku teks dan
peralatan pembelajaran lain, menurut kajian yang menonjolkan kesan
ketidakseimbangan sosial dalam sistem pendidikan sekolah rendah di
kebanyakan negara dan cabaran menyediakan peluang pendidikan sama rata
kepada kanak-kanak.
Seramai 7,600 sekolah memberi maklumbalas kepada soalan-soalan terperinci
yang dikemukakan dalam kajian itu mengenai fungsi sekolah, bagaimana guru
mengajar, keadaaan pembelajaran dan sokongan yang diberikan kepada guru dan
pengetua sekolah.
Menurut laporan itu, ketika buku masih luas digunakan dalam bilik darjah,
namum teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan besar di
sekolah dengan negara Argentina, Brazil, Chile, Malaysia dan Uruguay
menunjukkan kemajuan dalam sistem pengurusan berdasarkan komputer.
Chile dan Malaysia mempunyai pusat sumber sekolah terbaik secara menyeluruh
termasuk mesin faks, projektor "overhead", pemain VCR, bilik
audio-visual dan makmal sains.
Guru Gred Empat mengajar 23 jam seminggu dalam sesi sekolah tunggal dengan
beban pengajaran berbeza iaitu hanya 14 jam seminggu di Malaysia kepada 31
jam seminggu di Chile dan Filipina.
Kebanyakan negara dalam kajian itu mempunyai nisbah murid-guru pada kadar
20:1 kepada 30:1.
India mempunyai nisbah tertinggi khususnya di sekolah-sekolah kampung iaitu
59 murid bagi seorang guru manakala Malaysia mempunyai nsibah paling rendah
dengan purata menyeluruh sebanyak 18 murid bagi setiap guru. Di Malaysia,
India, Peru, Filipina dan Sri Lanka, wujud kekurangan guru berkelayakan.
"Kajian ini menawarkan kekayaan data. Pada hal lain pula, kami melihat
sejauh mana sekolah kekurangan elemen-elemen asas -- air bersih dan bekalan
elektrik.
"Tetapi data juga menunjukkan ketidakseimbangan sosial menjejaskan
peluang kanak-kanak untuk menimba ilmu. Sudah jelas, tidak ada negara --
kaya atau miskin -- lali kepada ketaksamaan kedudukan sosial ini,"
kata pengarah UIS Hendrik van der Pol.
--
|
No comments:
Post a Comment